GEORGE TOWN – Polis mendapat perintah reman selama sehari ke atas seorang kartunis kontroversi, Zunar, bagi membantu siasatan berhubung pameran kartun di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini yang didakwa berbaur hasutan.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen George Town, Mohd Harith Mohd Mazlan.
Peguam Ram Karpal Singh yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, berkata anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan serta di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Ram berkata pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk mereman kartunis itu selama empat hari namun beliau membantah permohonan itu dengan menyatakan bahawa tempoh satu hari sudah mencukupi untuk pihak polis melengkapkan siasatan mereka.
“Anak guam saya memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini dan beliau akan dibebaskan petang ini dengan jaminan polis,” katanya.
Semalam, kartunis itu ditahan di balai polis Timur Laut selepas hadir ke balai polis itu pada 6 petang setelah diminta berbuat demikian.
Jumaat lalu, Pemuda UMNO Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung pameran kartun oleh kartunis itu di Komtar yang menurut mereka kartun-kartun itu memaparkan gambaran negatif tentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – BERNAMA