SUNGAI PETANI – Lebih banyak program, kempen dan aktiviti mengenai pencegahan dadah akan dijalankan di Flat Paya Nahu dekat sini, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Perempuan Islam (LKPI) Rozekna Hashim.
Beliau berkata ia ekoran kekerapan kes jenayah yang berlaku di kawasan itu termasuk kes penderaan yang mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun awal pagi tadi.
“Awal tahun hadapan, kita akan wujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Rukun Tetangga yang bertujuan mengawasi kawasan ini dan pada masa sama untuk menghalang urusan jual-beli dadah daripada terus berleluasa di sini.
“Kepadatan penduduk yang mencecah lebih 2,000 orang, yang datang daripada pelbagai latar belakang, menyebabkan pelaksanaan sesuatu program sukar dibuat tanpa kerjasama semua pihak,” katanya kepada Bernama.
Beliau diminta mengulas mengenai kes penderaan di flat berkenaan yang membawa kepada penemuan mayat kanak-kanak yang berbalut dengan selimut toto dan disorokkan di dalam tong di dalam bilik di rumah terbabit.
Mangsa yang sudah meninggal sejak 9 November lalu dipercayai didera oleh ibu mangsa dan teman lelakinya.
Ujian saringan air kencing terhadap wanita berusia 26 tahun dan teman lelakinya yang berusia 34 tahun itu mendapati kedua-duanya positif amphetamine. – BERNAMA