KONSERT High Note 2016 yang mengandingkan tiga penyanyi bernada tinggi Ziana Zain, Jaclyn Victor dan Azlan Typewriter di Panggung Sari Istana Budaya baru-baru ini berlangsung dalam keadaan ‘huru-hara’, tidak seperti yang dirancang.
Ziana Zain atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain yang hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri seni tanah air menyifatkan konsert anjuran DME Entertainment, Segitiga Asia dan CMPagro itu sebagai paling teruk pernah dijayakannya.
Tambah malang lagi, pihak penganjur hanya memberikan mereka masa selama dua jam sahaja sebelum konsert berlangsung untuk berlatih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan kepada penonton.
“Kami hanya mula menjalani latihan petang tadi dan itu pun dalam masa yang cukup singkat iaitu lebih kurang dua jam.
“Kami dan pemuzik melakukan kerja gila hari ini. Kalau daripada segi semangat yang kami tunjukkan, memang sangat luar biasa tetapi daripada aspek penganjuran dan produksi, konsert ini adalah paling teruk sepanjang saya menjadi penyanyi,” jelas Ziana Zain pada sidang media selepas konsert berakhir.
Turut hadir pada sidang media itu, Jaclyn dan penerbit konsert yang juga wakil penganjur, Mohd Hidayat Mohd Shah. Namun, kelibat Azlan tidak kelihatan sehingga sidang media itu berakhir.
Sementara itu, Hidayat mengulas pertanyaan wartawan mendakwa kegagalan konsert pada malam pertama itu disebabkan oleh masalah teknikal.
“Saya tak salahkan penyanyi dalam hal ini. Saya akui sangat puas hati dengan persembahan mereka.
“Apa yang boleh saya katakan, berlaku masalah teknikal. Saya akan cuba bertanyakan hal ini kepada produksi.
“Ini adalah kali pertama kami menganjurkan konsert sebesar ini. Kami bertanggungjawab dalam hal ini dan kami meminta maaf atas apa yang berlaku,” katanya.
Meskipun banyak kelemahan yang jelas terpampang pada hari pertama konsert tersebut, namun pengalaman yang dimiliki oleh gandingan trio ini tetap berjaya menghiburkan penonton yang hadir.
Vokal Azlan masih berada di landasan yang sama apabila menyanyikan Lagu Untukmu yang begitu lantang dan hebat. Begitu juga dengan pelantun lagu Gemilang, Jaclyn Victor yang mendendangkan lagu Cinta Tiada Akhirnya ciptaan Sulu Sarawak dengan rendisi baharu.
Kemunculan penyanyi pujaan ramai Ziana Zain dinantikan hadirin, ternyata kekuatan vokalnya masih belum hilang taring apabila menyampaikan lagu Riwayat Cinta dan Ku Cinta Padamu dengan penuh bertenaga sekali.
Meskipun terdapat pelbagai kelemahan daripada pihak penganjur, kredibiliti dan profesionalisme serta keikhlasan trio ini harus dipuji kerana masih terus menjayakan konsert pada malam itu demi menghargai peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka. – MYNEWSHUB.CC