PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali semalam merasai sendiri pengalaman terpaksa beratur, ambil nombor dan buat permohonan pasport Malaysia Antarabangsa sama seperti orang lain.
Permohonan pembaharuan pasport itu berjalan lancar dan siap kurang daripada tempoh satu jam di Bahagian Pasport dan Keselamatan, Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya.
Mustafa yang ditemani empat anggota pegawai dilihat berpakaian seragam dan sempat berbual mesra dengan sebahagian orang ramai yang berada di pusat berkenaan.
Beliau yang baru dilantik menjadi ketua pegarah jabatan itu menyifatkan proses pengeluaran pasport yang mengambil masa hanya satu jam selepas bayaran adalah yang terbaik berbanding negara lain.
Kebiasaannya di negara-negara maju, ketetapan polisi dan sistem yang digunapakai memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu ke tiga bulan untuk mendapatkan pasport. – MYNEWSHUB.CC