KANGAR – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis merampas 2,520kg minyak masak bersubsidi bernilai RM33,000 dalam serbuan di sebuah pasar raya di Seriab, di sini, pukul 7.10 malam tadi.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Jamal Nor Ahmad Harun berkata 1,500kg minyak masak jenama Alif botol 5kg dan 1,020kg paket minyak 1kg jenama Bagus dirampas dalam Operasi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Beliau berkata pasar raya itu didapati menyimpan stok melebihi had lesen runcit dibenarkan, dan salah mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kami juga menyiasat mereka didapati menyimpan stok minyak bersubsidi dalam kuantiti banyak dan membekalkannya kepada penyeludup,” katanya pada sidang media di perkarangan pejabat KPDNKK Perlis di sini, hari ini.
Menurut Jamal Nor, denda tidak melebihi RM1 juta, dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah kerana menyimpan komoditi itu melebihi had dibenarkan. – BERNAMA