KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang merampas sebanyak 450 tong gas petroleum cecair (LPG) dianggar bernilai RM450,000 daripada sebuah premis penyimpanan di Kawasan Perindustrian Semambu di sini hari ini.
Timbalan Pengarah KPDNKK negeri Pahang, Alwi Abdul Hamid berkata rampasan dilakukan pada 2 petang setelah pemeriksaan dilakukan lima anggota penguat kuasa KPDNKK mendapati lesen perniagaan premis berkenaan tamat tempoh pada April lepas.
“Sewaktu serbuan, premis berkenaan beroperasi dengan pekerjanya menjalankan kerja-kerja penghantaran bagi bekalan di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Susulan itu, Alwi berkata pihaknya mengambil keterangan daripada pengurus kilang berusia 52 tahun dan mengarah premis itu ditutup sementara.
Kes disiasat mengikut Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum menurut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh didenda sebanyak RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu. – BERNAMA