PETALING JAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil alih pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 pada Januari depan walaupun kerajaan negeri Selangor masih belum membuat keputusan mengenainya.
Menterinya Tan Sri Noh Omar mendakwa tindakan itu tidak melanggar sebarang undang-undang kerana tanah itu milik KPKT dan pembinaan rumah PPR itu sendiri dilaksanakan oleh pihak kementerian.
Katanya tindakan itu perlu diambil bagi memastikan penghuni PPR berkenaan terbela memandangkan keadaan persekitaran kawasan perumahan tersebut tidak diurus dengan baik dan kurang kondusif.
Antara langkah yang akan diambil oleh kementerian ialah memperbaiki kerosakan kemudahan awam serta mewujudkan persekitaraan yang lebih ceria.
“Saya juga telah mengarahkan kementerian sekiranya kerajaan negeri Selangor ingin menuntut apa-apa tuntutan, kita selesaikan kemudian.
“Jangan sebab tuntutan ini, rakyat tidak diberikan pembelaan, bagi saya selesaikan masalah rakyat dulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Sekolah di Sekolah Kebangsaan Lembah Subang, di sini hari ini.
Menurutnya sepanjang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri, PPR Lembah Subang 1 masih berdepan dengan masalah sampah, penyelenggaraan lif dan kekurangan pelbagai kemudahan lain.
Terdahulu, sewaktu berucap di majlis pelancaran, Noh turut mengumumkan untuk membantu membina sebuah dewan terbuka dianggarkan menelan kos kira-kira RM300,000, untuk sekolah terbabit sekiranya lima pelajar daripada sekolah itu memperolehi keputusan 6A dalam UPSR tahun ini.
Noh turut menyumbangkan RM20,000 kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut. – BERNAMA