KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menimbang kemungkinan menggubal undang-undang khusus bagi menangani diskriminasi terhadap wanita dalam semua sektor di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata selaku anggota Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), kementerian komited memastikan tiada diskriminasi terhadap wanita di negara ini baik dalam sektor awam atau swasta.
“Buat masa ini perkara mengenai diskriminasi wanita ada disebut dalam Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan mengenai Kesamarataan.
“Selain itu, Akta Kerja 1955 yang menyentuh perkara berkaitan diskriminasi wanita juga telah dipinda dan berkuat kuasa mulai 1 April 2012,” katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Teo ingin tahu adakah kerajaan berhasrat menggubal undang-undang untuk menghentikan diskriminasi terhadap wanita terutamanya di sektor swasta seperti di negara maju yang lain.
Menjelas lanjut, Rohani berkata kementerian telah membuat beberapa pendekatan dengan pelbagai pihak bagi tujuan penggubalan akta tersebut.
“Kerjasama daripada semua pihak adalah penting bagi memastikan satu undang-undang yang mantap dan menyeluruh sebelum cadangan tersebut dibawa kepada Parlimen.
“Saya mahu bawa seramai mungkin pihak terlibat bagi memberi idea dan pandangan bernas dan kita mahu satu undang-undang yang mantap bagi memastikan kita boleh melindungi hak wanita di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan Wong Sze Pin@Jimmy (DAP-Kota Kinabalu) mengenai usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan individu, isi rumah, orang tua dan orang kurang upaya (OKU), Rohani berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui pendekatan kebajikan produktif telah membantu 5,615 penerima bantuan geran perniagaan sejak 2010 hingga tahun lalu.
“Ia melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM16.88 juta. Seramai 913 orang pula telah mendapat penempatan pekerjaan melalui Jobstreet Malaysia, dan seramai 4,017 menerima bantuan barangan perniagaan melalui program 1Azam,” katanya.
Katanya lagi, JKM setiap tahun memperuntukkan RM1.5 bilion bagi tujuan membayar pelbagai bantuan kepada penerima yang tersenarai menerima bantuan setiap bulan. – BERNAMA