KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menjangkakan lebih ramai calon Wanita akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata sayap itu sudah mengumpulkan senarai calon dan senarai itu akan diserahkan kepada Presiden parti Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional.
“Saya telah mula mencari calon-calon yang berpotensi, jadi iya, kami telah ada senarai itu dan apabila perdana menteri meminta saya menghantar (senarai) itu, kami akan melakukannya.
“Tetapi kami juga bekerjasama dengan wanita itu sendiri, sebab kami memerlukan profil mereka. Jadi saya fikir mereka sendiri harus ada motivasi diri sebab kebanyakan mereka ada potensi, tetapi sebahagiannya merasakan mereka tidak bersedia sedangkan mereka berkelayakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum ‘Women Power Talk – Effective Networking’ anjuran Wanita UMNO di sini hari ini.
Bagaimanapun, Shahrizat enggan mendedahkan butiran mengenai jumlah calon yang tersenarai tetapi menyatakan bilangannya adalah melebihi PRU13.
Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, yang merasmikan forum itu berkata siapa juga yang terpilih sebagai calon, sama ada lelaki atau wanita, mereka harus berupaya memenangi kerusi dan diterima oleh pengundi.
“Saya yakin semakin ramai wanita di luar sana layak menjadi Anggota Parlimen dan saya berpendapat yang menjadi persoalan sekarang ialah kawasan mana yang mereka akan bertanding,” katanya. – BERNAMA