MASIHKAH anda ingat dengan kisah viral mengenai seorang lelaki mencari calon isteri menerusi laman Facebook, yang pernah disiarkan Mynewshub Jun lalu?
Baca:Â Lelaki Ini Cari Calon Isteri Di FB, Ada Sesiapa Berkenan?
Untuk makluman anda, lelaki bernama Ubaidullah Jaafar itu telah pun berjaya menemui zaujahnya (bakal isteri) dan mereka bakal diijab kabulkan 10 Disember depan.
Siapa sangka, tindakan berani Ubaidullah memuat naik status pencariannya itu ternyata membuahkan hasil apabila bakal isterinya, Lidya Izzati menghubunginya di laman Facebook untuk berkenalan.
Mengimbas kembali detik perkenalan mereka, Ubaidullah memberitahu gadis itu awalnya mengajak dirinya berbuka puasa bersama-sama keluarganya, namun terpaksa ditolak kerana kesibukan menjalani latihan industri.
Bagaimanapun, sikap Lidya yang tidak putus asa mengajaknya ke rumahnya membuatkannya bersetuju untuk berjumpa buat pertama kali dengan gadis itu termasuk kedua ibu bapanya.
“Alhamdulillah, hati berputik untuk teruskan terima dia sbagai bakal zaujah lepas aku datang rumah, jumpa mak ayah dan luahkan hasrat, ‘Saya datang dengan hasrat, untuk berkahwin dengan anak pakcik’,” katanya.
Menurut lelaki berusia 25 tahun ini, selang beberapa hari selepas tamat praktikalnya iaitu dua bulan lalu, dia dan Ladya terus mengikat tali pertunangan.
Sementara itu, Ubaidullah turut meminta doa netizen agar urusan pernikahannya itu dipermudahkan.
“Minta doakan saya agar Allah permudahkan urusan selepas nikah nanti, pikul tanggungjawab baharu sebagai seorang suami,” katanya.
Terdahulu, Ubaidullah menjadi popular sekelip mata hingga turut ditemu bual satu rancangan televisyen selepas statusnya mencari calon isteri menarik perhatian ribuan netizen Malaysia.
Menerusi status itu, Ubaidullah memberitahu dia bertindak sedemikian ekoran tiada masa selain ibu bapanya sudah bertanyakan tentang perkahwinan.
Postingnya itu mendapat lebih 6,000 shares, tidak sampai 24 jam dimuat naik. – MYNEWSHUB.CC