SEORANG lelaki dipercayai mabuk nyaris mati sia-sia apabila menjadikan belebas di tingkat 11 sebuah apartment di Taman Perling, Johor Bahru sebagai tempat tidurnya, semalam.
Sehubungan itu, pihak pasukan bomba dan penyelamat dipanggil kira-kira jam 9.08 pagi untuk menyelamatkan lelaki berusia 28 tahun itu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Khairul Azhar Abd Aziz, berkata setiba pasukannya ke lokasi berkenaan, lelaki itu masih lagi tidur dalam posisi melentang.
“Anggota kemudiannya memasang alat keselamatan diri dan bersiap untuk menyelamatkan lelaki itu. Tapi, tiba-tiba, lelaki itu menukar posisi tidurnya daripada terlentang kepada mengiring dan hampir terjatuh,” katanya.
Cemas dengan insiden itu, salah seorang anggota terpaksa bertindak pantas dengan turun ke belebas dan menggunakan ‘body harness’ bagi menahan tubuh lelaki itu daripada terjatuh.
“Walaupun tindakan anggota bomba itu berjaya menyelamatkan nyawanya, ia sebenarnya mengundang risiko kerana anggota bomba ketika itu belum selesai memakai alat keselamatan secara menyeluruh. Saya bersyukur kerana keadaan itu tidak mengundang kejadian tidak diingini,” katanya.
Gambar insiden itu turut tersebar menjadi viral di media sosial dan mencetuskan rasa geli hati ramai.
Tidak kurang juga menyifatkan, lelaki itu hanya menyusahkan pasukan bomba. – MYNEWSHUB.CC