PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan sehingga 17 Januari tahun depan permohonan oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan berhubung pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) oleh kerajaan.
Panel tiga orang hakim diketuai oleh Hakim Tan Sri Ahmad Maarop menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili ketiga-tiga NGO memberitahu mahkamah mereka mahu menunggu perkembangan perjanjian sama ada ia akan berkuatkuasa atau sebaliknya.
Mohamed Haniff Khatri berkata jika TPPA gagal, permohonan oleh pemohon akan bersifat akademik dan pramatang.
Hakim-hakim lain dalam panel itu ialah Hakim Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Ketiga-tiga NGO merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Januari tahun ini, yang menolak permohonan mereka bagi kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman dalam usaha menghalang kerajaan daripada menandatangani TPPA.
Dalam permohonan itu, ketiga-tiga NGO menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan oleh ketiga-tiga NGO tersebut atas alasan bahawa kerajaan belum menandatangani perjanjian tersebut dan oleh itu ia tidak mempunyai justifikasi.
Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan responden tehadap permohonan bagi kebenaran.
Kerajaan telah menandatangani TPPA pada 4 Februari tahun ini.
Ketiga-tiga NGO tersebut memohon pengisytiharan bahawa pemeteraian TPPA adalah bercanggah dengan perlembagaan dan boleh menggugat kedaulatan negara.
Selain Malaysia, negara-negara yang terlibat dalam rundingan TPPA ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili pihak responden. – BERNAMA