KUALA LUMPUR – Majikan disaran menggajikan lebih ramai pekerja orang kurang upaya (OKU) berikutan sektor awam dan swasta di negara ini masih belum mencapai sasaran Dasar Satu Peratus penglibatan golongan itu dalam sektor pekerjaan.
Pengurus Cawangan ‘Return to Work’ (RTW) Bahagian Operasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Roshaimi Mat Rosely berkata kebanyakan majikan di negara ini tidak menyedari manfaat yang bakal diperoleh sekiranya mereka mengambil lebih ramai pekerja OKU.
“Sesetengah majikan di Malaysia tidak tahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menawarkan pelepasan cukai berganda kepada majikan yang melatih dan mengambil pekerja OKU yang mempunyai kad OKU,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada 10 Okt lepas, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun dilaporkan berkata pada dasarnya jumlah tenaga kerja golongan OKU dalam sektor awam di seluruh negara masih kecil iaitu hanya kira-kira 0.23 peratus.
Sehubungan itu, Azizah menyeru semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan di setiap negeri memberi kerjasama bagi mencapai dasar berkenaan menjelang tahun 2020.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP) Dr Hafez Hussain berkata setakat 30 Sept tahun ini, seramai 7,616 Orang Berinsurans Perkeso (OBP) yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan atau penyakit, telah berjaya kembali bekerja dengan majikan sama.
Katanya melalui program RTW Perkeso, OBP berkenaan telah dimasukkan ke PRP yang terletak di Bandar Hijau, Melaka.
“Pusat rehabilitasi ini adalah yang terbesar di Malaysia, yang mana doktor akan merawat dan menjalankan pelbagai terapi seperti fisioterapi dan hidroterapi bagi memastikan setiap kekangan OBP dapat diselesaikan secepat mungkin melalui pendekatan yang terbaik,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau berkata jika majikan yang sama tidak mahu menerima OBP itu atas sebab-sebab tertentu, program RTW akan membantu memadankan OBP dengan majikan yang bersesuaian.
“Kita ada tujuh hierarki bagi program RTW ini dan hierarki akhir sekali adalah bekerja sendiri (vokasional). RTW akan salurkan kes berkaitan kepada 10 pegawai penempatan pekerjaan (PPP) dan 41 pengurus kes kami di seluruh Malaysia.
“PPP akan bantu OBP berkenaan mencari kerja bersesuaian dengan keadaan, keupayaan fizikal dan kesihatan OBP kepada majikan yang sesuai,” katanya. – BERNAMA