PUTRAJAYA – Skuad Harimau Malaysia akan terus berentap dalam pertandingan bola sepak berprestij Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar yang sedang berlangsung sekarang.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberitahu bahawa mesyuarat Kabinet di sini hari ini memutuskan pasukan Malaysia tidak menarik diri daripada menyertai pertandingan serantau dwitahunan tersebut.
Katanya, jemaah Kabinet antara lain telah membincangkan secara serius kekejaman tentera Myanmar ke atas etnik Muslim Rohingya di negara majoriti Buddha itu dan akan memprotes dengan menggunakan cara lain.
“Tindakan diplomatik seterusnya akan diumumkan oleh pihak Kementerian Luar selepas ini,” kata Khairy sambil menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia sangat prihatin terhadap isu penindasan etnik Rohingya.
Bagaimanapun pihak kerajaan sedar langkah drastik memboikot temasya itu boleh menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula berdepan tindakan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Malaysia pernah menjuarai kejohanan peringkat Asia tenggara tersebut sekali pada 2010 menewaskan Indonesia sejak menyertai Piala AFF Suzuki pada 1996 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger.
Pelbagai pihak mendesak agar Malaysia memboikot piala berkenaan sebagai tanda protes terhadap junta kerajaan Myanmar ‘pejam mata’ atas kekejaman yang keterlaluan terhadap etnik minoriti Muslim itu.
Lebih malang, pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang memenangi anugerah Nobel Keamanan juga tidak berbuat apa-apa malah menyifatkan Rohingya sebagai pendatang asing tanpa izin.
Malaysia pernah memboikot Sukan Olimpik di Moscow, Rusia pada tahun 1980 kerana membantah pencerobohan haram tentera Soviet Union ke atas negara jirannya, Afghanistan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA