ALOR SETAR – Meskipun dalam perjalanan menghadiri majlis penting di Sungai Petani, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah tetap menunjukkan keprihatinan dirinya.
Beliau dilaporkan sempat lagi berhenti singgah sejenak untuk melihat dan membantu dua mangsa kemalangan jalan raya berhampiran dengan susur Plaza Tol Alor Setar Utara dekat sini pada pagi Sabtu.
Dalam insiden kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 50-an dan anak perempuannya yang menaiki motosikal cedera dipercayai akibat dilanggar sebuah kereta jenis Nissan Almera.
Ia bukan luar biasa bagi Ahmad Bashah malah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bakar Bata itu dikatakan sering melakukan perkara sama sebelum ini jika terserempak kejadian tidak dijangka.
Menurut Setiausaha Akhbar Menteri Besar itu, Nahar Tajri, kemalangan tersebut berlaku di hadapan kenderaan rasmi yang dinaiki Ahmad Bashah dan kebetulan melalui kawasan berkenaan.
“Ahmad Bashah dalam perjalanan ke Sungai Petani untuk menghadiri Konvensyen UMNO Kedah dan beliau berhenti seketika untuk melihat keadaan mangsa,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA