GARA-GARA berpegang teguh kepada prinsip hanya makan makanan berasaskan sayur-sayuran, seorang model dari Australia, Ruby Jean Wilson telah menarik diri daripada penggambaran selepas mendapati dia terpaksa memakai pakaian berasaskan bulu haiwan.
Menurut Ruby, dia memutuskan untuk mempertahankan apa yang dipercayainya kerana dengan memakai bulu haiwan, ia bertentangan dengan gaya hidupnya sebagai seorang vegan.

“Saya berpendapat adalah penting untuk kita menyatakan tidak kepada bulu,’’ katanya dalam akaun Facebooknya.
Ruby menjelaskan, ketika itu dia telah siap bersolek untuk sesi penggambaran dan memikirkan untuk menarik diri selepas mendapat tahu mengenai pakaian terbabit.
“Saya duduk sekejab dan berfikir sama ada ia terlambat untuk menarik diri semata-mata untuk memudahkan orang lain tetapi saya memutuskan ia bukan sesuatu yang saya mahu,’’ katanya.
Jelas Ruby, apa yang dilakukannya itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit iaitu tidak bertolak ansur terhadap apa yang dipercayainya.
Ternyata tindakan Ruby itu mendapat sokongan dan pujian ramai terutama daripada golongan vegan. – MYNEWSHUB.CC