KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Islam yang tidak bebas daripada memikirkan kaum sendiri dan memusuhi agama lain tidak layak menjadi seorang pemimpin.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, Islam adalah agama untuk semua dan adil kepada semua seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Beliau menjadikan kemenangan Donald Trumph dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh untuk menjustifikasikan penerangannya itu.
“Apabila kita melihat Donald Trump yang bersifat perkauman dan anti agama lain tanpa alasan yang adil, maka kita menolak dan tidak suka dengan beliau.
“Kita merasakan orang seperti itu tidak layak menjadi pemimpin. Orang seperti itu tidak mungkin akan memerintah dengan adil. Persoalannya; apakah diri kita juga bebas dari perkauman melampau dan memusuhi agama lain tanpa sikap yang adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Asri berkata, jika umat Islam di Malaysia tidak dapat menerima perkara itu pada diri Trump maka adakah mereka menerima perkara seperti itu pada diri mereka. -MYNEWSHUB.CC