KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menerima enam buah bot amfibia Isnin ini sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana alam dan banjir susulan musim tengkujuh ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata fasa pertama penerimaan bot tersebut akan digunakan di Semenanjung sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
“Bencana kesan daripada fenomena hujan lebat ketika ini dipantau rapi Nadma dan kita telah bersiapsiaga untuk sebarang operasi menyelamat atau memindahkan mangsa-mangsa yang terlibat.
“Bencana seperti rumah hanyut, jambatan tenggelam, air pasang dan sebagainya yang melanda beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah, Sabah sebelum ini disifatkan sebagai terkawal dan bertompok. Ia tidak berlaku serentak namun kita tetap bersedia sepenuhnya,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Menurutnya, satu mesyuarat khas juga akan diadakan di Putrajaya, Isnin ini, untuk membincangkan pelan strategik dan langkah-langkah yang perlu diambil Nadma dan agensi keselamatan lain bagi menghadapi sebarang bencana kelak.
Dalam pada itu, Shahidan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, menggesa kerajaan memanggil Duta Myanmar untuk memberikan penjelasan berkaitan pembunuhan dan penyeksaan etnik Rohingya yang sedang berlaku ketika ini di negara tersebut.
“UMNO Perlis mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman dan pembunuhan etnik tersebut. Malaysia memang tidak boleh campur tangan tetapi kita boleh nyatakan protes kepada apa yang berlaku,” katanya.
Keadaan di Myanmar dilaporkan semakin teruk dan membimbangkan masyarakat dunia apabila golongan wanita dan gadis etnik Rohingya dirogol sementara lelaki dan kanak-kanak dibunuh setiap hari tanpa mengenal perikemanusiaan. – BERNAMA