KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) semakin meruncing dan terkini timbul desas-desus mengatakan presidennya akan meletak jawatan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, pegawai pengurusan pasukan Harimau Kumbang dikatakan tidak bersetuju dengan pelantikan Anggota Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sebagai pengurus baharu pasukan Pulau Pinang.
Menurut sumber FAP, pengumuman peletakan jawatan Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff sebagai Presiden FAP bakal dilakukan tidak lama lagi.
“Pengumuman peletakan jawatan bakal dilakukan Disember ini dan besar kemungkinan Zairil akan diangkat menjadi Presiden FAP yang baharu.
“Sudah tiga tahun Nazir Ariff menjadi presiden dan dengan peletakan jawatan itu akan memberi laluan kepada muka baharu serta idea yang lebih segar untuk pasukan,” kata sumber itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, penolong pengurus pasukan Pulau Pinang, Mohd Nazim Ariff Nazir Ariff, menghantar surat peletakan jawatan dan tindakan itu mengundang kebimbangan dalam kalangan penyokong setia Harimau Kumbang.
Nazim Ariff berkata beliau melepaskan jawatan tersebut kerana berpegang kepada prinsip.
“Saya tidak mahu berada di situ (FAP) tanpa berbuat apa-apa. Sehingga kini, saya tidak dipanggil langsung untuk berbincang mengenai hala tuju pasukan untuk musim depan.
“Saya juga hairan dan kecewa kerana ketika pasukan lain sudah mulakan latihan serta membawa masuk muka baharu tempatan dan import, Pulau Pinang masih terkial-kial, malah urusan kontrak pemain sedia ada juga belum diselesaikan,” katanya.
Nazim Ariff juga mengesahkan pemain serba boleh, Mohd Fitri Omar telah disambar Kedah ekoran kegagalan FAP menguruskan barisan pemainnya.
“Beberapa lagi pemain senior juga mungkin mengangkat kaki dari Pulau Mutiara,” katanya. – BERNAMA