MISI mencari dan menyelamat seorang lagi pendaki Malaysia, Ramli Abd Majid yang dilaporkan hilang di Gunung Damavand, Iran terpaksa ditangguhkan berikutan faktor cuaca yang tidak begitu baik hari ini.
Menurut Ketua Ekspidisi pendakian tersebut, Rozaimi Mohd Said, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak memaklumkan tempoh masa namun akan menyambung segala usaha mereka apabila cuaca semakin baik.
“Kami dimaklumkan oleh pihak SAR pagi ini bahawa tiada usaha mencari dan menyelamat dilakukan untuk mencari saudara Ramli Abd Majid hari ini atas faktor cuaca.”
“Pihak SAR tidak memaklumkan tempoh masa tetapi berkata akan menyambung semula usaha mereka apabila cuaca semakin baik dan ini boleh dilakukan tanpa perlu menunggu perbuahan musim seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Rozaimi turut berkata, usaha sedang dilakukan bagi membolehkan jenazah Allahyarham Syed Redzuan Syed Salim Shatri dipindahkan dari Amol ke Tehran dengan bantuan Duta Besar Malaysia ke Iran.
Semalam, jasad Syed Redzuan ditemui di Yakhar Glacier selepas enam hari dilaporkan hilang.
Dua pendaki berkenaan dilapor hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu pada 20 November lalu selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.
Ekspidisi pendakian mereka bermula pada 17 November lalu dan sepatutnya pulang pada 23 November lalu. – MYNEWSHUB.CC