GEORGE TOWN – Banyak karya kartunis Zunar kebelakangan ini dianggap keterlaluan dan berbaur hasutan terhadap kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hasil karya Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque sering megah menghiasi portal propembangkang malah pernah diadakan pameran di luar negara konon sebagai memprotes kepimpinan negara yang didakwa zalim.
Petang Jumaat, ibarat buku bertemu ruas, sekumpulan 30 aktivis diketuai Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Rahim telah ‘gempur’ pameran Zunar di ruang legar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.
Mereka mendesak kartunis biadap tersebut segera menurunkan 20 karya dipamerkannya yang dianggap kurang ajar serta jelas menghina Perdana Menteri dan berbaur hasutan kepada rakyat untuk membenci kepimpinan Najib.
Dalam kejadian bermula jam 3 petang itu, keadaan menjadi kecoh apabila Zunar pada mulanya bertegas enggan berbuat demikian mungkin atas alasan konon mahu menegakkan prinsip kebebasan bersuara ala Barat.
Ini menyebakan Pemuda UMNO Pulau Pinang memberi tempoh selama 30 minit kepadanya dan akhirnya Zunar kemudian bersetuju membatalkan langsung pameran karya ‘kurang ajar’ dirinya yang penuh kontroversi itu.
Sebilangan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kelihatan dikerah berkawal di situ mengawasi keadaan untuk mengelak kejadian tidak diingini. Kumpulan berkenaan mula bersurai sekitar pukul 3.45 petang.
Pameran biadap tersebut dirasmikan pada 12 tengah hari sebelumnya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terpalit dengan skandal rasuah hartanah dan ia dijadualkan berlangsung sehingga Ahad ini.
Rafizal yang ditemui wartawan tempatan kemudian memberitahu bahawa Pemuda UMNO negeri itu akan terus berusaha memantau pameran berkenaan supaya ia terus dibatalkan oleh pihak penganjurnya.
“Kami akan memastikan karya Zunar tidak dinaikkan lagi di sini kerana semuanya jelas adalah fitnah jahat pihak pembangkang terhadap kerajaan Persekutuan,” tegasnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA