MAKKAH – Sepasang suami isteri dikecam netizen menerusi media sosial selepas memuat naik gambar bayi mereka yang diletakkan di cenuram sebuah gunung di Arab Saudi.
Gambar itu dirakamkan di Dikkat Al Al Halwani, sebuah destinasi popular di puncak Gunung Al Hada yang di bawahnya terletak lebuh raya Makkah, di barat negara berkenaan.
Menurut laman web berita Al-Marsad, pasangan yang tidak dinamakan itu dikritik teruk sebaik gambar itu menjadi viral menerusi laman siber.
Pengguna media sosial menuduh mereka sengaja membahayakan nyawa bayi itu semata-mata mahu merakam gambar berkenaan dan menarik tumpuan netizen.
Ada yang menggesa pihak berkuasa memenjarakan pasangan itu atas alasan sengaja mencabuli nyawa kanak-kanak.
Seorang pengguna yang menamakan dirinya Salem menulis: “Ini perbuatan tidak bertanggungjawab. Mereka yang di sebalik gambar ini perlu dihukum.”
Seorang lagi menulis: “Ibu bapa bayi ini tidak tahu bersyukur selepas memperoleh anak. Mereka perlu dipenjarakan.” – Agensi/myMetro Online