SEREMBAN – Agenda pendidikan merupakan antara isu utama yang akan dibangkitkan UMNO Negeri Sembilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 hujung bulan ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Hasan Malek berkata tumpuan kepada agenda pendidikan ini kerana bidang itu perlu sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan Barisan Nasional, yang ditunjangi UMNO, dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang dan berkemahiran bagi memacu negara ke arah negara maju.
Beliau berkata dewasa ini, pendidikan sering dijadikan isu oleh pembangkang bagi melemahkan kerajaan serta mencipta persepsi salah di kalangan rakyat.
Tindakan pembangkang memberikan persepsi dan tanggapan buruk kepada kerajaan jika tidak ditangani, katanya mampu menenggelamkan usaha-usaha murni yang dilakukan kerajaan demi kepentingan semua rakyat.
“Saya harap berkaitan isu pendidikan, pembahas dapat menyentuh isu berkaitan pendidikan percuma dan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana saya ingat banyak maklumat yang disampaikan oleh pihak pembangkang dikelirukan faktanya menyebabkan masyarakat keliru.
“Kerana itu saya mahu perkara ini dibangkitkan agar dapat dimaklumkan kepada pimpinan negara semasa perhimpunan itu kelak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.
Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan diadakan pada 29 Nov hingga 3 Dis, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
NILAI, SEREMBAN DAN GEMENCHEH SEBAGAI HAB PENDIDIKAN
Menyedari hakikat bahawa taraf hidup rakyat dapat dibangunkan dan dilonjakkan menerusi pendidikan, Negeri Sembilan membangunkan tiga kawasan iaitu Nilai dan Seremban sebagai kawasan pembangunan pendidikan secara berkelompok dengan elemen pembangunan bercampur manakala Gemencheh dijadikan pembangunan hab pendidikan Islam.
Pendidikan merupakan satu keutamaan dan perkara yang amat dekat di hati Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pandangan Hasan, yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, mengenai perlunya soal pendidikan diberi tumpuan turut dipersetujui Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi.
Hasim berkata pendidikan menjadi isu yang sentiasa bermain di fikiran masyarakat kerana mereka mahukan anak-anak mereka memperoleh pendidikan yang terbaik dan berkualiti selain perlu diseimbangkan dengan aspek keagamaan.
“Kerana itu hari ini kita boleh lihat banyak sekolah-sekolah tahfiz swasta yang dibina. Ketika pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menyatakan dengan jelas perkara ini sehingga diberikan peruntukan kepada sekolah-sekolah tahfiz.
“Mungkin akan ada juga cadangan untuk memasukkan satu daripada elemen baharu dalam sekolah aliran perdana agar ada kelas yang menjurus kepada aliran agama dan kelas tahfiz untuk elak sekolah tahfiz haram terus berleluasa,” katanya.
Dalam Bajet 2017 yang dibentang Najib pada 21 Okt lepas, sebanyak RM30 juta diperuntukkan kepada sekolah tahfiz bagi melahirkan lebih ramai generasi Islam hebat, manakala sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah pondok berdaftar diperuntukan RM50 juta bagi penambahbaikkan dan penyelenggaraan sekolah.
Najib berkata peruntukan bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara itu diberikan setelah kerajaan menyedari wujudnya permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap pendidikan tahfiz.
UMNO PERLU KAEDAH BERKESAN TOLAK DAKYAH PEMBANGKANG
Selain isu pendidikan, Hasan, yang juga Duta Malaysia ke Kemboja, melahirkan kebimbangan terhadap usaha pembangkang yang berterusan menyerang dan memburukkan UMNO demi meraih sokongan politik.
Beliau berkata dalam usaha memantapkan kepercayaan masyarakat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN), antara elemen penting yang harus ditekankan adalah memperkasakan kaedah untuk memberikan kefahaman dan penjelasan kepada masyarakat berhubung isu semasa yang dimanipulasi pihak lawan.
“Saya yakin kita (UMNO) ada wujudkan pasukan yang berfungsi untuk mengadakan jelajah memberi penerangan berkaitan isu semasa dan pasukan media yang turut menjalankan fungsi yang sama di laman sosial.
“Saya fikir ia perlu diperkasakan kerana pihak pembangkang tidak akan pernah jemu untuk mencari kesalahan dan terus melemparkan tohmahan kepada UMNO. Jika dibiarkan perkara ini, ia hanya akan merosakkan lagi dan melemahkan parti,” katanya.
Hasim pula menegaskan pemimpin dan anggota UMNO tidak perlu gentar dengan serangan bertali arus pembangkang sebaliknya terus menawarkan khidmat kepada rakyat.
“Rakyat sendiri yang akan melihat dan menilai siapa yang bekerja dan siapa yang hanya bercakap sahaja,” katanya.
Mengulas tahap sokongan masyarakat khususnya orang Melayu terhadap UMNO, Hasim percaya bahawa majoriti orang Melayu di seluruh negara masih lagi mempunyai keyakinan tinggi terhadap parti itu.
“Buktinya jelas dan nyata dalam keputusan Pilihan Raya Kecil (Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Parlimen Sungai Besar, Selangor) dan Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini yang menunjukkan parti komponen BN masih mampu memperoleh kemenangan,” katanya. – BERNAMA