ALOR SETAR – Persatuan Rohingya Cawangan Kedah mendesak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menghantar misi keamanan membantu minoriti etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar yang dizalimi tentera kerajaan negara itu.
Presidennya, Yusuf Ali berkata bantuan kedua-dua organisasi antarabangsa itu amat diperlukan bagi memastikan nasib ratusan ribu saudara mereka di Rakhine, terbela.
“Kebanyakan negara ada misi keamanan, kenapa Rakhine tiada? Adakah PBB buta dan tidak nampak penderitaan mereka? Mereka banyak keluarkan kenyataan mahu menolong etnik Rohingya, tapi semuanya hanya cakap kosong,” katanya.
Beliau berkata diskriminasi dan penindasan berterusan dilakukan regim Myanmar ke atas Rohingya sejak 1971 sehingga kini telah membunuh 200,000 nyawa yang tidak berdosa.
“Kami sudah tidak tahan lagi dengan penindasan terhadap saudara kami di sana (Rakhine). Kami mahu kerajaan Malaysia kalau boleh turut membantu menyuarakan desakan kami ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Aung San Suu Kyi sebelum ini, dikritik kerana bergerak perlahan menangani isu Rohingya yang kini mencetus konflik di utara Rakhine serta dianggap keganasan terburuk sejak 2012. – BERNAMA