KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi mengesahkan 1,200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di lapan universiti di Christchurch, New Zealand yang dilanda gempa bumi hari ini, dilaporkan selamat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Education Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di New Zealand telah menghubungi semua wakil pelajar yang menuntut di lapan universiti tersebut selepas kejadian dan mendapati mereka semua selamat.
Jelasnya, Education Malaysia di New Zealand telah menasihatkan pelajar Malaysia agar sentiasa peka dan berjaga -jaga serta mengikut nasihat yang dikeluarkan oleh Pertahanan Awam New Zealand.
Semalam, satu gempa bumi kuat pada magnitud 7.5 melanda Pulau Selatan New Zealand, mengorbankan sekurang-kurangnya dua nyawa.
Sementara itu, kira-kira jam 8.34 pagi tadi, satu lagi gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Ritcher berlaku di luar pantau timur Pulau Selatan, 151 km Timur Laut dari bandar Christchurch.
Susulan kejadian, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran ancaman Tsunami dan setiap orang di pantai timur negara itu diarahkan menuju ke kawasan dalam atau tanah tinggi pulau berkenaan. – MYNEWSHUB.CC