PASIR PUTEH – Seorang pelajar perempuan tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini, apabila cedera parah selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Azhar Elmi Mustofar berkata Nurul Fakhira Husna Azmi, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman di sini, yang tersepit dalam kereta patah paha kiri dan cedera di muka.
Katanya kejadian berlaku pada kira-kira 7 pagi apabila kereta Perodua Alza dipandu bapa pelajar itu, Azmi Mahmod, 43, yang juga guru di SMK Seri Aman, berlanggar dengan sebuah kereta BMW dari arah bertentangan di Kampung Banir Belikong di sini.
“Bapa mangsa dan pemandu serta seorang penumpang kereta BMW itu hanya cedera ringan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Katanya pelajar itu dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Krian untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Azhar Elmi berkata enam anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan pelajar itu yang tersepit dalam kereta.
Sementara itu, ibu pelajar terbabit, Zarinawati Abdul Wahid, 44, berkata keluarganya terpaksa membuat keputusan menangguhkan peperiksaan untuk anak sulung mereka itu kerana cedera parah. – BERNAMA