KISAH pelancong China mencetuskan onar di negara yang dikunjungi bukanlah perkara baharu yang hangat diperdebatkan.
Dek ragam mereka itu, pelancong China tidak disenangi dan kurang digemari masyarakat seluruh dunia gara-gara sikap pengotor dan tidak bertimbang rasa mereka.
Terbaharu, insiden yang berlaku di Korea di mana lapangan terbang di Jeju bertukar tidak ubah seperti tapak pelupusan sampah gara-gara sikap tidak bertanggungjawab sekumpulan pelancong dari negara tembok besar itu.
Menerusi gambar yang disiarkan akhbar tempatan, Jemim Ilbo, lambakan sampah itu dipercayai datang dari plastik barangan yang dibeli pelancong China di kawasan bebas cukai.
Mereka dikatakan membuang plastik dan sampah-sarap itu di kawasan pintu pelepasan antarabangsa kerana mahu menjimatkan ruang bagasi mereka.
Sementara itu, pihak Lapangan Terbang Korea Berhad terpaksa menambah bilangan tukang cuci berikutan masalah yang timbul ini.
Selain itu, pelaksanaan denda turut bakal dikenakan pada masa akan datang bagi mana-mana pelancong yang sesuka hati membuang sampah di merata-rata tempat.
“Kami akan teruskan berusaha dengan menambah bilangan tukang cuci terutamanya di kawasan penerbangan luar negara,” ujar kenyataan rasmi yang dilaporkan oleh The Korea Times.
Pendek kata, pelancong dari China nampaknya perlu berubah sikap supaya dapat membersihkan kembali nama negara mereka di mata dunia. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Next Shark