KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis meminta peniaga dan pembekal khususnya di negeri ini, mengekalkan harga minyak masak kerana tiada harga baharu bahan ituĂ‚Â yang diumumkan kerajaan, setakat ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perlis, Jamal Nor Ahmad Harun berkata sehingga kini, agensi itu belum menerima makluman berkaitan senarai harga baharu minyak masak yang dijual di negara ini.
“Kami sedia maklum penyebaran resit dan gambar berserta tanda harga minyak masak yang dijual pada harga lebih tinggi melalui aplikasi whatsapp, namun tidak diketahui daripada mana.
“KPDNKK sendiri belum menerima arahan dan makluman berkaitan senarai harga baharu minyak masak. Macam mana ada yang sudah pasti bahan itu akan dijual pada harga RM21.30 untuk minyak masak 5 kilogram?” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian berikutan wujud senarai harga minyak masak yang disebarkan di media sosial sejak beberapa hari lepas, yang tidak diketahui sumbernya.
Pada Rabu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.
Di bawah penstrukturan semula itu, harga minyak masak paket 1kg kekal pada harga RM2.50, tetapi minyak masak di dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November ini.
Jamal Nor berkata pemeriksaan yang dilakukan di kebanyakan premis di Perlis hari ini, masih mengekalkan harga lama bagi semua saiz minyak masak dalam botol, dan pemantauan akan dilakukan berterusan sehingga panduan kadar baharu ditetapkan kerajaan dikeluarkan.
“Setakat ini, KPDNKK Perlis tidak menerima sebarang aduan mengenai harga minyak masak yang dijual pada harga lebih tinggi seperti yang disebarkan menerusi aplikasi pintar itu.
“Pada masa sama, kita akan pantau supaya tiada peniaga mengambil kesempatan daripada keadaan ini dengan menaikkan harga bahan itu ke tahap tidak munasabah,” katanya. – BERNAMA