KUALA KLAWANG – Pembunuhan kerana perbezaan agama adalah perbuatan orang-orang yang tidak bertamadun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata semua pihak perlu menyatuni kepelbagaian agama, bangsa dan budaya untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat dapat dipelihara.
“Islam mengajar kita menyatuni semua manusia bahkan termasuk haiwan, alam dan sebagainya walaupun kita berbeza akidah, bangsa, budaya, bahasa dan etnik.
“Peristiwa pembunuhan kerana perbezaan agama ini adalah merupakan sesuatu yang amat terkebelakang ketamadunannya dan ia merupakan hal yang amat dikecam oleh masyarakat dunia yang bertamadun,” katanya.
Jamil Khir berkata demikian mengulas pembunuhan kejam empat warga Myanmar dipercayai berpunca daripada pergaduhan melibatkan agama di Bachok, Kelantan baru-baru ini.
“Kita seharusnya memperlihatkan ketinggian budaya dan kebijaksanaan kita dalam menghormati orang dan sebagainya,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Jelebu Tahun 2016/1438H, di sini.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Pertang, Datuk Jalaluddin Alias.
“Kita melihat pembunuhan yang berlaku merupakan sesuatu yang amat dikesali dan ia sesuatu yang menyentuh semua masyarakat dunia kerana ia bukan hanya soal perbezaan agama tetapi juga menyentuh kemanusiaan,” katanya. – BERNAMA