MELAKA – Pemuda UMNO Cawangan Krubong Tengah hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Malim di sini menafikan anggota cawangan itu melakukan ugutan terhadap Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohd Rafiq Naizamohideen.
Ketuanya Ramli Mat Sit berkata tuduhan Mohd Rafiq dalam status Facebooknya semalam, mendakwa anggota cawangan itu mengugutnya dan terlibat dengan tindakan samseng dalam sebuah ceramah PPBM di Krubong di sini sekitar tengah malam semalam, adalah tidak benar.
“Saya buat laporan (polis) kerana saya dapati Mohd Rafiq telah membuat fitnah dan bertujuan jahat terhadap pemimpin UMNO Cawangan Krubong Tengah dan meminta pihak polis menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di sini hari ini.
Ramli turut membuat satu lagi laporan polis meminta polis menarik balik permit kelulusan ceramah PPBM pada 26 Nov ini di Kampung Krubong Tengah di sini bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini akibat tuduhan dibuat oleh Mohd Rafiq.
Mohd Rafiq semalam mendakwa menerima ugutan daripada pemimpin UMNO sebuah cawangan supaya tidak menghadiri ceramah PPBM di Krubong di sini dan turut mendakwa anggota UMNO ada terlibat dengan insiden sebuah kereta dibakar ketika beliau berbicara di sebuah warung dengan penduduk di Krubong. – BERNAMA