KUALA LUMPUR – Penamatan kontrak konsesi antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dawama Sdn Bhd tidak melibatkan langkah menyelamat kerajaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.
Menurutnya, penamatan kontrak itu kerana tempoh perjanjian tersebut telah tamat secara rasmi pada 31 Ogos 2014 dan syarikat itu gagal menjalankan tugas yang diberikan kepadanya.
Chong berkata pemilihan Dawama sebelum ini adalah bagi memberi ruang kepada DBP untuk menumpukan perhatian kepada pencetakan judul akademik dan buku teks.
“Apabila kita swastakan kepada syarikat swasta, apa yang kita perlukan adalah syarikat tersebut bukan hanya cetak buku teks dan buku-buku ilmiah, tetapi mencetak lebih banyak lagi judul yang bukan ilmiah.
“Didapati, syarikat ini tidak dapat melaksanakannya. Kita lihat bahawa DBP boleh melakukannya secara penyumberluaran dengan sistem terbaru di atas pasaran. Pada masa ini kita tidak ada perancangan untuk menswastakannya semula,” katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat hari ini.
Siti Zailah mempersoalkan tindakan kerajaan yang sebelum ini menswastakan urusan pencetakan judul bukan ilmiah kepada Dawama yang didakwanya menunjukkan kelemahan urus tadbir korporat oleh kerajaan yang akhirnya menyebabkan ‘bailout’.
Kepada soalan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) mengenai tempoh masa yang lama diambil untuk menamatkan kontrak tersebut, Chong menjelaskan ia bergantung kepada perjanjian konsesi antara DBP dan Dawama.
“Perjanjian konsesi tamat secara rasmi pada 2014 dan kita melihat bahawa syarikat itu tidak lagi mampu menjalankan tugas seperti mana yang kita berikan kepada konsesi itu.
“Sebab itu kita menamatkannya dan sekarang kita mengambil alih sebarang fungsi yang sebelum ini diswastakan kepada syarikat tersebut. Kita melihat DBP sekarang mampu menjalankan fungsi tersebut,” katanya.
Chong berkata segala bayaran yang dijanjikan semasa tempoh konsesi itu telah dibayar seperti yang tertakluk kepada perjanjian sebelum ini. – BERNAMA