BALIK PULAU – Dua hari selepas dilanda, sebuah kampung di Batu Ferringi di Pulau Pinang, sekali lagi menerima musibah sama susulan hujan lebat selama 30 minit pada Rabu.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Kampung Batu Ferringi, Ahmad Jassin berkata, sebanyak 25 buah rumah ditenggelami air dalam kejadian tersebut.
“Paras air mencecah setinggi buku lali pada waktu tengah hari.
“Pada Isnin, situasi sangat buruk apabila air mencapai paras pinggang,” katanya.
Sementara itu, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dilanda banjir sudah melakukan persiapan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan.
Nenek berusia 80 tahun, M. Govindoo berkata, ahli keluarganya meletakkan beg berisi pasir di depan rumah sewa mereka bagi mengelakkan dimasuki air.
“Rumah kami sering dimasuki air banjir selepas hujan lebat.
“Julai lalu, paras ari mencapai ketinggian lutut,” katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Awak berdekatan Lengkok Teluk Bahang 1.
Penduduk di Jalan P. Ramlee juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan barangan rumah ke kawasan yang lebih tinggi.
Rahmattullah Abdul Majid, 43, berkata, dia tidak mahu menempuh situasi yang buruk seperti sebelum ini.
“Air banjir naik kira-kira pukul 3 pagi pada Isnin ketika saya sedang tidur dan saya tidak mampu menyelamatkan barang penting.
“Dalam tempoh beberapa minit sahaja, paras air mencecah ketinggian dada saya,” katanya.
Rahmatullah yang merupakan seorang penggangur, berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM600 untuk membaiki mesin basuh dan peti ais yang rosak akibat ditenggelami banjir.
Seorang lagi penduduk, Salim Abdullah, 40, berkata, dia akan membawa keluarganya di rumah saudara buat sementara waktu.
“Dua buah kereta saya dihantar ke bengkel akibat banjir pada Isnin.
“Kini saya menempatkan beberapa barangan penting ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya. – mStar Online