DELHI – Hanya beberapa hari selepas aktivis hidupan liar mengumumkan penemuan pertama harimau bintang di Taman Biodiversiti Delhi, seekor lagi haiwan spesies itu dibelasah mati.
Ia dilakukan penduduk sebuah kampung di Gurugram, kelmarin yang kemudian mengarak bangkai berkenaan tanpa mengendahkan kehadiran polis serta pegawai jabatan hidupan liar.
Kejadian berlaku di kampung Mandawar. Pegawai hidupan liar yang tiba di tempat kejadian tidak sempat menyelamatkan harimau bintang berusia tiga tahun itu.
Haiwan itu akhirnya dibunuh secara kejam oleh sekumpulan pemuda kampung yang menyerangnya dengan menggunakan kayu dan kapak.
Tindakan penduduk kampung mengarak bangkai haiwan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Sohna-Faridabad selama 20 minit.
Haiwan itu pertama kali dilihat di dalam sebuah rumah seorang penduduk sekitar jam 8 pagi (waktu tempatan) dan berita mengenainya terus tersebar menyebabkan 800 penduduk berkumpul untuk mengepung haiwan itu.
Menurut laporan, haiwan itu menyerang dan mencederakan kira-kira 12 orang.
Penduduk kampung, Lalit Bhardwaj berkata, pihaknya menghubungi pegawai jabatan hidupan liar dan polis yang mengambil masa sejam untuk tiba.
“Ketika itu 12 orang sudah dicederakan haiwan berkenaan,” katanya.
Penduduk berkeras mahu membunuh haiwan itu kerana bimbang lebih ramai diserang. – Agensi/myMetro Online