PETALING JAYA – Seorang pengarah syarikat pegangan pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah lebih RM1.1 juta, tujuh tahun lepas.
Tai May Chean,61, pengarah syarikat United Eastern Resources Sdn Bhd membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kamil Nizam.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Tai sebagai pengarah syarikat itu didakwa telah melakukan pecah amanah dengan cara memindahkan wang daripada akaun Standard Chartered Bank milik syarikat itu kepada akaun bank miliknya yang kesemuanya berjumlah RM1,108,500.00 melalui empat keping cek untuk kegunaan peribadinya.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di A-3-13, 8 Avenue PJ, Jalan Sungai Jernih 8/1, di sini, antara 30 April 2009 hingga 28 April 2011 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 22 Dis untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA