KUALA LUMPUR – Seorang peniaga air tebu terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 24 bulan kerana mencabul anak teman wanitanya yang berusia 12 tahun, Mei lepas.
Majistret Haslinda A. Raof menjatuhi hukuman itu ke atas Abd Rahim Yusuf, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap murid darjah enam itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya.
Lelaki itu yang masih bujang didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di sebuah rumah kedai di Taman Pandan Mewah di sini, pada 6 pagi awal Mei dan 4.30 petang pertengahan Mei lepas.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 20 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara 24 bulan bagi pertuduhan kedua serta memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu jika disabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang tinggal bersama mangsa telah dua kali mencabul mangsa tetapi kanak-kanak itu tidak memberitahu ibunya kerana tertuduh mengugut untuk memukulnya, tetapi mangsa memberitahu guru besar dan guru kaunseling di sekolahnya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf, bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman penjara kerana kesalahan itu adalah serius selain mengambil kira keselamatan mangsa yang tinggal bersamanya. – BERNAMA