KEMAMAN – Bakar lemang dalam kebasahan dan terpaksa tanggung kerugian! Situasi berkenaan dihadapi seramai 15 peniaga di Gerai Lemang Kijal apabila gerai mereka ditenggelami air sedalam 0.5 meter akibat banjir kilat yang melanda kawasan tersebut awal pagi tadi.
Banjir kilat yang berpunca daripada limpahan air bukit yang berlaku kira-kira lapan jam menyebabkan Jalan Kuala Terengganu-Kuantan turut ditenggelami air dan ditutup satu lorong.
Salah seorang peniaga, Salimah Hussin, 49, berkata air mula memasuki deretan gerai berkenaan kira-kira pukul 7 pagi dan limpahan air tersebut menyebabkan beliau dan peniaga lain terpaksa menghentikan operasi perniagaan selama lapan jam hari ini.
“Pagi tadi masa tengah bakar lemang, air mula masuk dalam gerai… kami terpaksaa berhenti berniaga buat sementara sebab keadaannya agak teruk dan jalan di hadapan gerai mula sesak sebab air melimpah dan jalan ditutup satu lorong.
“Alhamdulillah, lepas pukul 3 petang keadaan bertambah baik, hujan pun dah makin kurang dan air mengalir deras selepas pekerja Majlis Perbandaran Kemaman menggali saliran di kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Hazimah Othman, 53, yang telah berniaga selama 15 tahun berkata beliau tidak menyangka akan berdepan dengan keadaan banjir kilat tersebut memandangkan ini adalah kejadian pertama baginya.
“Tak pernah lagi sebelum ni berlaku kejadian macam ni… tadi memang ingat tak dapat nak berniaga langsung dah, risau juga sebab lemang dah bakar sejak awal pagi, tapi Alhamdulillah, petang ni dapat kami berniaga kembali.
“Lepas banjir surut dan jalan dah boleh lalu dua-dua lorong, kami bersihkan gerai dan kembali berniaga… memang hari ni rugi sikit tapi kami terima dugaan ini,” katanya yang berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera agar kejadian seperti itu tidak berulang. – BERNAMA