JOHOR BAHRU – Peniaga makanan di sini tidak berhasrat untuk menaikkan harga meskipun berdepan kenaikan serentak harga minyak masak dan bahan api berkuat kuasa pada Selasa lepas.
Tinjauan Bernama di beberapa tempat termasuk di Anjung Selera Larkin di sini hari ini mendapati peniaga menerima dengan terbuka kenaikan kedua-dua bahan itu.
Nurshahduan Abd Rahman, 35, berkata kenaikan harga minyak masak misalnya, mungkin tidak memberikan kesan kepada perniagaan keluarganya dalam jangka waktu terdekat kerana mereka mempunyai pembekal yang masih menjual barangan tersebut pada harga lama.
“Persoalan sampai bila dia (pembekal) boleh bertahan (menjual minyak harga lama), kami tidak tahu. Tetapi apa yang pasti, kami tidak menaikkan hargaĂ‚Â makanan buat masa ini kerana kami memahami beban ditanggung pelanggan.
“Lagi pula, kami hanya menggunakan tiga botol minyak masak seberat lima kilogram sehari dan ini masih boleh dikawal,” katanya yang berniaga nasi campur sejak 1995.
Ratini Nordin, 37, berkata harga bagi semua makanan yang dijual di gerainya seperti mee goreng mamak, mee sup, tom yam campur, sup ayam dan daging dan nasi ayam masih sama seperti bulan lalu iaitu dalam lingkungan RM5 hingga RM6.
“Kami boleh bertahan… tidak semua masakan memerlukan minyak masak,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan itu selama 14 tahun.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar Karat Johor Bahru Mohammad Salezan Mohd Salleh berkata kenaikan kedua-dua bahan tersebut bukanlah isu besar kepada anggotanya.
“Namun begitu, anggota yang menjual makanan memaklumkan kepada saya mereka menerima hakikat kenaikan tetapi kita berharaplah juga supaya tiada lagi kenaikan pada masa depan,” katanya.
Sejak 1 November lepas, harga runcit petrol bagi RON95, RON97 dan diesel naik sebanyak 15 sen seliter berbanding hanya antara RM1.80 sehingga RM2.15 seliter sebelum ini.
Kenaikan itu kemudian disusuli pengurangan subsidi ke atas minyak masak, yang menyaksikan harga minyak masak botol seperti 2kg, 3kg dan 5kg naik mendadak, manakala minyak paket sekilogram pula dikekalkan pada harga RM2.50. – BERNAMA