LANGKAWI – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meminta kerajaan memberikan imbuhan tambahan bulanan untuk mengurangkan bebanan penjawat awam yang menghadapi kos hidup agak tinggi di Langkawi.
Timbalan Presiden II Cuepacs, Mohd Shaman Jaes berkata imbuhan ini haruslah bersamaan dengan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) seperti mana yang dinikmati penjawat awam yang bertugas di pulau bebas cukai Labuan.
Katanya penjawat awam dalam Kumpulan Sokongan II agak terbeban berikutan sewa rumah dan harga barang keperluan yang agak tinggi di pulau peranginan ini.
“Bagi kumpulan kakitangan ini yang boleh dikategorikan dalam B40, kos sara hidup di sini terlalu tinggi untuk mereka sehinggakan ada yang merungut lebih tinggi dari di Kuala Lumpur dan Johor Bharu, Johor,” katanya di sini.
Menurutnya sewa untuk rumah yang selesa di sini melebihi RM1,000 sebulan dan bebanan ini ditambah lagi dengan harga barang keperluan yang lebih mahal berbanding di tanah besar Semenanjung Malaysia.
Mohd Shaman berkata harga makanan segar seperti ikan dan sayuran juga agak tinggi ekoran permintaan yang sentiasa meningkat dari hotel-hotel di pulau ini.
Menurutnya, pengangkutan yang terhad kepada udara dan laut untuk keluar dan masuk ke pulau ini turut menjadi bebanan kepada penjawat awam khususnya dalam kalangan mereka yang menghadapi kecemasan.
“Perkhidmatan feri hanya beroperasi pada sebelah siang. Dalam keadaan kecemasan, cara (pergerakan) paling cepat adalah menggunakan kapal terbang namun bayaran tambangnya akan menjadi lebih mahal,” katanya.
Katanya Cuepacs telah mengemukakan permohonan elaun ini kepada kerajaan beberapa kali sejak 10 tahun namun perkara itu seolah-olah terlepas pandang.
“Bukanlah hendak salahkan (sektor) pelancongan atau dasar (kerajaan) dalam keadaan ini tetapi kami hanya mahu penyelesaian komprehensif supaya penjawat awam tidak terbeban dan dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya. – BERNAMA