Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Ibu, Anak Hampir Maut...

MIAMI - Anne Ziegenhorn yang berasal dari Florida, Amerika Syarikat telah mengalami masalah...

“Buat Majlis Kahwin Di...

TEMPAT yang mewah dan gah biasanya menjadi impian buat kebanyakan para pengantin di...

Insiden Dipeluk Usher, Apa...

NAMA penyanyi dan penulis lirik, Yuna tiba-tiba menjadi bualan ramai apabila penyanyi tinggi...

Beri Laporan Lengkap Lori...

KEMAMAN - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) meminta kerjasama daripada orang ramai untuk membuat...

Perjuangan Beradab Pilihan Wanita UMNO – Shahrizat

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO, yang menjadi tulang belakang parti, akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan beradab ketika melaksanakan agenda perjuangan parti dan mempertahankan UMNO.

Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu tidak perlu bertindak dramatik mencanang apa yang dilakukannya, sebaliknya membawa pengisian ilmu kepada pergerakan semasa menjalankan gerak kerja parti dan mendekati rakyat.

“Kita berjuang dengan beradab. Sebaliknya saya lihat pembangkang merasakan agresif itu adalah moden, tidak beradab itu adalah moden, suara songsang adalah ‘cool’.

“Bagi saya, itu definisi yang ketinggalan. Wanita UMNO lebih berminat dengan cara moden penuh tradisi, tidak perlu melaung, terlalak-lalak, buat kerja gila di tengah jalan untuk mendapat sesuatu,” katanya dalam satu wawancara bersama Bernama menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2016, yang akan berlangsung minggu hadapan.

Sejak tahun kebelakangan ini, landskap politik tanah air diwarnai dengan penganjuran perhimpunan haram yang tergelincir daripada landasan demokrasi, yang sedikit sebanyak mencemarkan keselamatan dan ketenteraman negara serta mencalar imej negara.

Menyangkal dakwaan bahawa wanita profesional lebih selesa memilih platform pembangkang untuk menyuarakan pandangan dan memperjuangkan prinsip mereka berbanding berada dalam UMNO, Shahrizat berkata Wanita UMNO mempunyai keanggotaan yang seimbang.

Dari segi keanggotaan, Wanita UMNO pada hari ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman, berusia dan matang serta anggota yang mempunyai pendidikan tinggi dalam pelbagai bidang termasuk golongan profesional seperti peguam, doktor, usahawan dan akauntan untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat.

Bekas menteri Kabinet yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa yang lebih penting adalah melihat hasil gerak kerja Wanita UMNO dalam menangani isu-isu serta mempastikan tindakan yang diambil bagi sesuatu masalah.

“Outcome (hasil tindakan) itu yang mustahak, KPI (Petunjuk Prestasi Indeks) kita mustahak, sebab itu hari ini kita lihat banyak isu wanita dapat perhatian secara terhormat. Itu unik dan indahnya berada dalam Wanita UMNO,” katanya.

Mengambil peluang perhimpunan tahunan minggu hadapan untuk membawa mesej jelas kepada para perwakilan memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Shahrizat berkata ucapan dasarnya antara lain akan menjurus kepada kesiapsiagaan Wanita UMNO, yang dianggotai kira-kira 1.36 juta orang bagi menghadapi PRU yang dilihat amat mencabar berbanding pilihan raya sebelum ini.

Menekankan pentingnya anggota sayap itu bersatu padu dan merapatkan barisan serta mengukuhkan solidariti bagi memastikan UMNO kuat, Wanita UMNO sebagai srikandi, katanya menjadi benteng yang akan mempertahankan institusi Presiden.

“Kalau kita ada senjata, ada idea yang baik, retorik yang hebat tetapi kalau kita tiada perpaduan, kita hancur. Jadi saya minta kepada Wanita teruskan, kekalkan perpaduan yang ada. Prinsip kami ialah kami sokong institusi Presiden, kami selaku tulang belakang parti tidak boleh tergelincir daripada prinsip ini,” tegasnya.

Menjangkakan bahawa perhimpunan tahunan parti kali ini mungkin yang terakhir sebelum PRU14, Shahrizat berkata semangat anggota pergerakan wanita berkobar-kobar dan sudah bersiap siaga untuk mengerah jenteranya bagi menghadapi PRU, yang dilihat sangat mencabar.


“Wanita sudah bersedia untuk masuk gelanggang PRU. Kami tunggu sahaja bila masanya, terpulang kepada YAB Presiden (untuk mengumumkan bila pilihan raya), kami memang sudah siap siaga,” katanya.

Mengingatkan akan cabaran getir yang dihadapi UMNO sekarang, Ketua Wanita itu berkata pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu sentiasa awas dan mengambil iktibar dengan pergolakan dalaman, sehingga ada yang keluar UMNO dan membuka parti baharu berlawan dengan UMNO.

“Sudah menjadi lumrah parti politik, bukan hanya dalam UMNO, pembangkang pun ahlinya keluar masuk, keadaan seperti ini selalu berlaku. Pemimpin terdahulu tidak berpuas hati. Keluar buka parti baharu itu tidak ganjil, kita ahli politik kita bukan ahli persatuan kebajikan. Kita mesti siap siaga, bersedia untuk hadapi apa jua cubaan dan dugaan,” katanya.

Mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2016, Wanita UMNO akan membawa resolusi yang telah disepakati dan isu-isu yang dibangkitkan dalam Sidang Meja Bulat Syariah sebagai usul pada perhimpunan kali ini.

Shahrizat berkata resolusi berkenaan merupakan antara agenda yang akan dibawa pergerakan bagi memperkasakan institusi kehakiman dan perundangan syariah di negara ini.

“Sidang Meja Bulat Syariah yang diadakan baru-baru ini disertai pengamal dan pembuat dasar undang-undang syariah untuk meneliti tiga topik utama iaitu penyeragaman undang-undang syariah di Malaysia, perundangan perwarisan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah,” katanya.

Selain itu, seperti kelaziman usul yang dibawa oleh perwakilan akan fokus kepada politik, ekonomi, pendidikan dan agama.

Menyedari kenaikan kos sara hidup yang membelenggu rakyat berikutan keadaan ekonomi semasa dan sebagai parti politik yang merasai denyut nadi kaum wanita yang turut berperanan sebagai pengurus rumah tangga, Shahrizat berkata Wanita UMNO memandang isu berkenaan sebagai satu keutamaan.

Katanya Wanita UMNO akan mendesak kerajaan untuk memberi keutamaan khususnya kepada wanita yang menjadi ketua isi rumah peluang pekerjaan dan menceburkan diri dalam keusahawanan untuk memperoleh pendapatan.

“Ini termasuklah memberi peluang kepada mereka berniaga dari rumah, secara dalam talian, melalui Pasarnita dan program-program yang dijalankan oleh agensi kerajaan, sama ada AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia), Tekun dan Mara (Majlis Amanah Rakyat),” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori