KUALA LUMPUR – Pemain beregu utama negara, Tan Wee Kiong mengakui gandingannya bersama Goh V Shem perlu lebih kuat dan agresif untuk memenangi sesuatu kejohanan.
Mengakui sedikit terkesan berikutan kekalahan dalam beberapa Siri Super baru-baru ini, pemain beregu nombor satu dunia itu, bagaimanapun berkata keserasian di gelanggang bersama V Shem masih baik, namun keputusan tidak memihak kepada mereka.
Beliau berkata gelaran nombor satu dunia tidak memberi tekanan kepada mereka, sebaliknya lebih mematangkan diri masing-masing untuk memikirkan kekuatan yang diperlukan untuk memenangi lebih banyak kejohanan.
“Saya tahu keputusan dalam beberapa kejohanan Siri Super baru-baru ini tidak berapa bagus, kami perlu lebih kuat dan agresif lagi selepas ini. Secara peribadi saya tidak mahu menganggap gelaran nombor satu dunia satu tekanan.
“Paling penting kami menang dalam kejohanan,” katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, hari ini.
Pemenang pingat perak acara beregu lelaki Sukan Olimpik Rio itu dijadual beraksi pada Siri Super Akhir di Dubai dari 14 hingga 18 Dis ini.
Turut menggalas cabaran negara pada kejohanan berkenaan ialah Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki.
Wee Kiong berkata beliau mahu gandingan bersama V Shem mampu bertahan sehingga ke final di Dubai nanti.
“Ini kali pertama kami menyertai Kejohanan Siri Super Akhir, saya harap kami dapat melepasi pusingan awal seterusnya ke final. Semua beregu mempunyai peluang dan kekuatan masing-masing,” katanya. – BERNAMA