SEREMBAN – Kelab Kucing Malaysia (KKM) dengan kerjasama BRIT Cat Food, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) akan menganjurkan Pertandingan Kucing Antarabangsa dan Pertandingan Haiwan Kesayangan, di sini pada Sabtu dan Ahad ini.
Presiden KKM Khalid Rashid berkata sebanyak 250 ekor kucing pelbagai jenis akan dipertandingkan termasuk kucing jenis berbulu panjang dan pendek pada acara yang dianjurkan bersempena Festival Taman Tasik Seremban 2016 di Dewan Perbandaran Seremban di sini.
“Antara kucing itu ialah Maine Coon, Siberian, American Curl, Norwegian Forest, Turkish Anggora, Selkirik Rex, Oriental Siamese, Sphnyx Aby, Cornish Rex, Devon Rex, Japanese Bobtail, Russian Blue, Parsi, Exotic Birman, Turkish, Van Ragdoll, British Bengal, Kurilean Bobtail, Burmese Ocicat dan Singapura Burmilla. Pertandingan ini akan diadili oleh pengadil antarabangsa,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Manakala, katanya antara haiwan yang menyertai Pertandingan Haiwan Kesayangan ialah arnab, ikan, iquana, tikus, hamster, ular, burung, ayam, cicak, gecko, guinea pig, merpati, ikan emas, landak dan lain-lain haiwan.
Selain itu, katanya antara pertandingan sampingan yang turut diadakan ialah pertandingan menghias sangkar kucing, pertandingan meniru aksi dan gaya kucing serta pertandingan teka berat kucing.
“Kita juga ada pameran haiwan kesayangan, penjualan makanan kucing dan barangan keperluan kucing/haiwan kesayangan, ceramah mengenai kucing/haiwan kesayangan dan kucing angkat,” katanya. – BERNAMA