KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memohon peruntukan berjumlah lebih RM380 juta dalam tempoh dua tahun iaitu 2012 dan 2013 bagi belanjawan tahunan kementerian itu, Mahkamah Sesyen di sini diberitahu.
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, Kementerian Kewangan Hasifah Mohd Murtadza berkata peruntukan itu yang berjumlah RM381,333,646.06 adalah di bawah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).
“Permohonan dibuat melalui surat daripada bekas Setiausaha Bahagian Kewangan KBS Otman Arsahd kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, untuk perhatian Ketua Seksyen Kewangan,” katanya yang memberitahu turut disertakan bersama permohonan itu ialah surat ikatan amanah.
Hasifah, yang merupakan saksi ketiga pihak pendakwaan, berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Izhani Zainal pada sesi perbicaraan hari kedua kes Otman,57, yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Farid Abdul Aziz yang mewakili Otman, sama ada surat permohonan peruntukan yang disediakan KBS itu mematuhi prosedur yang ditetapkan, Hasifah berkata, “Ya”.
Hasifah menjelaskan surat itu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) keana mempunyai surat lampiran dan perincian cadangan anggaran belanjawan.
Terdahulu, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KBS Mazlan Abd Mutalib berkata Otman, yang bekerja di KBS sejak 16 Feb 1998 sehingga 22 Mac 2016, telah tiga kali menerima notis pertukaran jawatan.
Saksi pertama pihak pendakwaan itu yang dipanggil menyambung keterangan hari ini, berkata notis pertukaran itu adalah pada tahun 2007, 2011 dan 2014.
Bagaimanapun, katanya, pertukaran itu dibatalkan tanpa sebarang alasan.
Pada 31 Mac lepas, Otman yang turut diwakili peguam Zaid Roslan mengaku tidak bersalah atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta, empat tahun lepas.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, di sini, antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.
Bagi 15 tuduhan menyalahgunakan kedudukan, Otman didakwa mengarahkan Ketua Pengarah MSN untuk membuat bayaran kepada syarikat Dial Ex Sdn Bhd, milik dua anaknya, berjumlah RM2,161,000 bagi pelbagai program kementerian antaranya program Futsal 2012 dan program sampingan Formula One (F1) 2013.
Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi 17 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, Otman didakwa memberikan surat pembayaran melalui akaun kementerian kepada Pengarah Bahagian Kewangan MSN, Abdul Rashid Yaakub, untuk bayaran pelbagai program kementerian kepada tiga syarikat milik rakannya berjumlah RM36,310,400.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18 akta sama yang memperuntukkan hukuman sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – BERNAMA