KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil kesempatan menonjolkan Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli sebagai ‘hero’ berikutan hukuman penjara yang dikenakan ke atas pakar propaganda pembangkang tersebut.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa kononnya Rafizi yang sering melemparkan pelbagai dakyah ke atas kerajaan walaupun tanpa asas yang kukuh adalah seorang demokrat yang berjuang demi rakyat.
“Hari ini Rafizi telah dijatuhkan hukuman 36 bulan penjara iaitu 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan ia berjalan serentak berkaitan kes Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Ini merupakan satu hari yang cukup sedih buat demokrasi Malaysia apabila seorang demokrat telah dihadapkan ke mahkamah kerana mempertahankan hak dan kepentingan rakyat,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Wan Azizah turut mendakwa seluruh kepimpinan dan ahli PKR akan berdiri teguh mempertahankan Rafizi dengan penuh ukhuwah dan solidariti.
“Saya mendoakan agar saudara Rafizi dan keluarga diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan yang cukup mencabar ini. Bebas Rafizi,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac lepas.
Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Mohd Rafizi, dan memerintahkannya menjalani hukuman tersebut secara serentak. – Mynewshub.cc