PARIS – Paul Pogba dan Dimitri Payet meledak apabila Perancis bangkit menewaskan Sweden 2-1 dalam saingan Kelayakan Piala Dunia Zon Eropah, awal pagi tadi.
Pasukan pelawat terlebih awal mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Emil Forsberg menerusi sepakan percuma pada awal separuh masa kedua di Stade de France untuk saingan Kumpulan A.
Namun Perancis bangkit dengan tandukan Pogba pada minit ke 58 bagi gol penyamaan manakala Payet pantas meledak susulan kesilapan penjaga gol Sweden untuk gol kemenangan pada minit ke-65.
Kemenangan itu menyaksikan Les Bleus melonjak ke kedudukan teratas kumpulan dengan perbezaan tiga mata daripada Sweden.
“Ia satu permainan yang sukar namun setiap keputusan dikira. Sweden memberikan kita kesulitan,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps. – AFP