MUAR – Polis menemui mayat seorang lelaki tersangkut di semak tebing Sungai Muar (sebelah Gersik), tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata mayat lelaki yang tidak dikenali identitinya itu ditemui berpakaian seluar pendek berwarna coklat dan t-shirt berwarna oren pada 12.20 tengah hari semalam.
“Hasil pemeriksaan polis mendapati beberapa kesan luka dan calar pada bahagian badan dan mayat itu yang kemudian dibawa ke Hospital Tangkak semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata mayat itu kini dirujuk kepada pakar bedah di Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Katanya kes itu disiasat dari sudut mati mengejut sehinggalah mendapat pengesahan pakar patologi.
Beliau berkata orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – BERNAMA