KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang suspek kes samun melibatkan sepasang warga emas ketika melakukan transaksi di mesin deposit tunai (CDM) sebuah bank di Jalan Ipoh, Sentul dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang lelaki berumur lingkungan 20-an berpura-pura berurusan di mesin itu sebelum merampas wang tunai RM5,000 daripada mangsa.
“Suspek telah merampas wang tunai daripada si isteri dengan menolaknya hingga terjatuh dan cedera di kepala.
“Akibatnya mangsa yang berusia 75 tahun menerima lima jahitan di kepala manakala suaminya yang berumur 77 tahun menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama.
Kes disiasat kerana mendatangkan kecederaan semasa menyamun. – BERNAMA