TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 12,000 karton rokok yang disyaki diseludup dianggarkan bernilai RM1.4 juta yang dimuatkan dalam sebuah lori di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, hari ini.
Pegawai Pemerintah PPM tersebut, ASP Ahmad Amri Abd Rahman berkata pihaknya menahan pemandu lori berkenaan berumur 47 tahun ketika serbuan pada pukul 1.45 pagi.
“Lori tersebut diekori oleh anggota PPM bermula dari Cabang Tiga Palekbang, Tumpat sehingga ke kawasan tempat letak kereta di belakang pasar raya tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad Amri berkata hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan mendapati terdapat 12,000 karton rokok yang dibalut dengan plastik lutsinar dan ditutup dengan kanvas.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1960 dan akan dirujuk ke Bahagian Pencegahan Kastam Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata rokok putih mendapat permintaan yang tinggi termasuk dari warga asing kerana harganya lebih murah iaitu RM6 sekotak.
“Kita percaya sindiket ini sudah lama menjalankan aktiviti ini dan pihak kami akan terus menjalankan operasi bagi mengekang kegiatan penyeludupan kerana dikhuatiri ada penyeludupan barangan lain mungkin berlaku,” katanya. – BERNAMA