KUCHING – Seramai 496 orang ditangkap atas kesalahan-kesalahan perjudian dalam 4,349 serbuan ke atas premis judi siber bagi tempoh dari 1 November 2015 hingga 31 Oktober lepas di seluruh negeri Sarawak.
Menteri Muda Belia, Sukan dan Solidariti, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata wang tunai sebanyak RM88,000 dan 826 mesin judi turut dirampas dalam serbuan berkenaan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tidak dinafikan terdapat pengusaha premis hiburan yang menyalahgunakan lesen hiburan untuk mendapatkan keuntungan daripada kegiatan ini (judi siber),” katanya menjawab soalan Razali Gapor (BN-Beting Maro) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Abdul Karim berkata pengeluaran lesen kafe siber telah dibekukan sejak tahun 2004.
“Pihak berkuasa tempatan diarah memantau dan mengambil tindakan sewajarnya dan jika didapati ada pengusaha menyalahgunakan lesen pengusaha premis, maka lesen mereka akan dibatalkan,” katanya.
Operasi bersepadu dan serbuan ke atas premis-premis judi akan diteruskan oleh pihak PDRM secara kolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan, Sarawak Energy Berhad (SEB), Telekom Malaysia dan agensi-agensi lain.
PDRM akan memperhebatkan lagi risikan jenayah sehingga kegiatan haram ini dapat dibendung, katanya.
Sementara itu, Menteri Muda Pengangkutan Sungai dan Keselamatan Liwan Lagang ketika menjawab soalan Alexander Vincent (BN-Ngemah) berkata, setakat ini 55.9km daripada keseluruhan 101.2km pembinaan jalan raya dari Kapit ke Kanowit telahpun siap, manakala baki 35.7km masih dalam pembinaan di bawah empat pakej.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan untuk baki sepanjang 9.6km dari Nanga Ngemah hingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat pada Mei 2015 dan tambahan 5.2km pada Mac 2016 untuk ke Skim Penempatan Semula Ngungun dengan peruntukan berjumlah RM150 juta. – BERNAMA