KUALA LUMPUR – Rutin harian seorang ibu tunggal yang berniaga pinggan mangkuk melamine, ‘berebut’ tapak jualan dengan peniaga lain di pasar pagi, berakhir setelah beliau mendaftar dalam program ‘My Best Buy’.
Menurut Rahayu Mohd Razak, 37, program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu berjaya membantu meningkatkan taraf kehidupannya bersama empat orang anak.
“Sebelum menyertai program ini, saya terpaksa bangun awal pagi semata-mata untuk mendapat tapak jualan, dan terpaksa pula berebut dengan peniaga lain bagi mendapatkan tapak jualan yang strategik.
“Namun, selepas menyertai program My Best Buy, ia menjadi lebih mudah kerana program ini mendahulukan anggota yang berdaftar dari segi pemberian tapak jualan,” katanya.
Rahayu ditemui Bernama semasa Karnival NBOS ‘My Best Buy’ yang berlangsung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil di sini, hari ini.
Jelasnya, sejak menyertai program itu, pasaran untuk produk jualannya juga lebih luas dan beliau sering menyertai karnival jualan yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Mansor Omar berkata karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu bertujuan mempromosikan jualan terus dari ladang dan produk industri asas tani serta barangan keperluan harian kepada komuniti setempat.
“Selain itu, hari ini kita telah mengadakan ‘happy hour’ jualan minyak masak lima kilogram dengan harga RM20 sebotol kepada penduduk setempat selain pertandingan mewarna dan mengukir buah,” katanya selepas menutup karnival itu.
Turut hadir, Pengarah FAMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Mohd Radzuan Md Nor dan Pengerusi Barisan Nasional Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen.
Karnival anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui FAMA itu turut dimeriahkan dengan penyertaan usahawan AgroBazaar Online, Persatuan Nelayan Kebangsaan dan pameran daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat.
Program My Best Buy merupakan program yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Matlamat utama program berkenaan adalah mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui penawaran produk hasil pertanian dengan potongan harga antara lima hingga 20 peratus bagi produk terpilih. – BERNAMA