KUALA LUMPUR – Tiga daripada enam pemain sepak takraw negara yang gagal menjalani ujian doping turut berdepan penggantungan daripada Program Podium yang dikendalikan Institut Sukan Negara (ISN).
Enam pemain itu termasuk tiga yang di bawah Program Podium kini menjalani penggantungan sementara selepas gagal menjalani ujian doping sewaktu Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, baru-baru ini.
Pengarah Program Podium, Tim Newenham berkata mana-mana atlet yang melanggar dasar Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) akan dikenakan penggantungan sehingga siasatan kes itu selesai.
“Kami adalah orang profesional yang membantu atlet profesional. Mereka adalah antara yang terbaik di dunia. Jika mereka memilih melanggar peraturan, itu bererti mereka tidak terpilih untuk Program Podium.
“Kami harapkan sikap profesional pada atlet,” katanya pada sidang media mengenai kriteria pemilihan atlet untuk Program Podium 2017 di sini hari ini.
Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya telah dimaklumkan secara rasmi oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengenai penggantungan sementara enam pemain serta tiga pegawai kerana gagal menjalani ujian itu di Bangkok.
Kenyataan itu berkata adalah menjadi kesalahan di bawah Perkara 2.3 WADA jika mengelak memberikan sampel, atau tanpa memberi justifikasi, enggan atau gagal mengemukakan sampel selepas diberi notifikasi.
Pemain dan pegawai terlibat mempunyai 14 hari untuk mengemukakan jawaban kepada ISTAF. – BERNAMA